Print  |  Favourites

FMM jangka gangguan bekalan dalam dua minggu akan datang

FMM In The News: BH ONLINE, 6 April 2026

KUALA LUMPUR: Tinjauan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) mendapati 90 peratus daripada lebih 200 responden menjangkakan gangguan rantaian bekalan dalam tempoh dua minggu akan datag susulan konflik Asia Barat.

Presidennya, Jacob Lee Chor Kok, berkata beberapa bahan utama bagi sektor pembuatan dijangka berkurangan atau tidak tersedia, selain mengalami kenaikan harga.

Menurut beliau, konflik Asia Barat memberi kesan kepada sektor itu dalam tiga bidang utama, iaitu gangguan logistik, peningkatan kos tenaga dan bahan api serta gangguan bekalan bahan mentah.

"Mengenai gangguan logistik, syarikat perlu mengalihkan penghantara pada kos pengangkutan yang jauh lebih tinggi, selain menanggung lonjakan premium insurans dan caj penyimpanan di pelabuhan.

"Isu lain yang memberi kesan kepada rakyat ialah kenaikan kos tenaga dan bahan api.  Oleh itu, FMM merayu kepada kerajaan agar mempertimbangkan pemberian subsidir diesel kepada sektor ini.

"Ketiga, terdapat gangguan bahan, khususnya dalam produk derivatif petrokimia seperti polivinil klorida, polipropilena, polietilena serta resin plastik lain," katanya dalam program "The Nation" bertajuk Impak Konflik Asia Barat Terhadap Sektor Pembuatan Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.  


Beliau berkata kebanyakan industri di Malaysia yang berasaskan pembuatan konvensional amat sensitif terhadap kenaikan kos berikutan margin keuntungan yang tipis, sekali gus menimbulkan risiko kepada kelangsungan perniagaan.

"Kami berharap kerajaan dapat mengambil langkah intervensi bagi mengurangkan lonjakan kos supaya syarikat tidak perlu memindahkan kenaikan tersebut kepada pengguna, yang boleh mendorong inflasi," katanya.

Menurut Lee, sektor perkilangan merupakan penyumbang penting kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan sumbangan sebanyak 23 peratus serta menyediakan pekerjaan kepada 2.3 juta tenaga kerja.

"Kami mungkin pembayar cukai kedua terbesar di negara ini. Selain itu, 86 peratus daripada eksport Malaysia terdiri daripada barangan perkilangan, dengan 44 peratus daripadanya disumbangkan sektor elektrik dan elektronik atau pembuatan teknologi baharu," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa Indeks Pengurus Pembelian (PMI), yang menjadi penunjuk kepada penguncupan atau pengembangan sektor pembuatan, menunjukkan pemulihan tetapi masih tidak stabil apabila meningkat kepada 50.2 pada Januari sebelum susut kepada 49.3 pada Februari.

Katanya, PMI mempunyai ambang 50, dengan bacaan melebihi paras itu menandakan pengembangan manakala di bawah 50 menunjukkan penguncupan.

Pada masa sama, harga minyak kekal melebihi AS$100 setong. Pada jam 5.18 petang, minyak mentah Brent susut 1.54 peratus kepada AS$107.30 setong.


Back to Top

Advertising Opportunities in FMM's Directories:
Copyright © 2025 Federation of Malaysian Manufacturing {Company Registration No. 196801000309 (7907-X)} 
(Formerly known as Federation of Malaysian Manufacturers)
Wisma FMM, No 3 Persiaran Dagang, PJU 9, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur. 
Read FMM Personal Data Protection Act Policy