FMM In The Article: MALAYSIA GAZETTE, 11 Jun 2026
KUALA LUMPUR – Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) mencadangkan kepada kerajaan agar memberikan bantuan kos bahan api industri menerusi rebat khas sementara yang ditadbir melalui kerangka lesen pembuatan sedia ada.
Ini berdasarkan dapatan Kajian Ketiga impak Krisis Asia Barat terhadap Sektor Pembuatan, Perdagangan dan Rantaian Bekalan di Malaysia mendapati 44 peratus responden menggunakan bahan api industri secara langsung dalam pengeluaran namun tidak layak di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Jelasnya, Kajian Ketiga impak Krisis Asia Barat terhadap Sektor Pembuatan, Perdagangan dan Rantaian Bekalan di Malaysia disertai 196 syarikat merentasi pelbagai industri yang dijalankan bermula 25 Mei hingga 10 Jun 2026.
Ia merupakan penilaian bulanan ketiga berturut-turut sejak gangguan mula berlaku pada Februari 2026.
“Walaupun pelbagai langkah mitigasi telah diambil, keadaan dalam sektor pembuatan masih berada di bawah tekanan yang ketara. Sebanyak 87 peratus responden melaporkan keadaan sama ada semakin merosot atau tidak berubah, dengan tekanan sedia ada menunjukkan sedikit sahaja tanda-tanda pemulihan sejak awal Mei 2026.
“Selain itu, 65 peratus tidak melihat sebarang penambahbaikan dalam mana-mana aspek operasi mereka.
“Beban kos kekal tinggi, dengan 74 peratus melaporkan kos pengeluaran masih berada antara 10 hingga 50 peratus lebih tinggi berbanding sebelum konflik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tegasnya, kos pengangkutan dan logistik terus menjadi faktor utama yang meningkatkan kos, menjejaskan 86 peratus responden, diikuti kekurangan bahan mentah (64 peratus), peningkatan kos tenaga dan bahan api (60 peratus), serta penolakan pelanggan terhadap pelarasan harga yang mengehadkan keupayaan pengilang memindahkan kos yang meningkat kepada pengguna (56 peratus).
Ini menyebabkan tekanan kos bukan lagi sebagai cabaran sementara sebaliknya bertukar menjadi kerugian komersial.
Menurut FMM, hanya enam peratus pengilang mampu memindahkan kenaikan kos kepada pelanggan sambil mengekalkan margin keuntungan. Sebanyak 58 peratus beroperasi pada tahap pulang modal atau lebih rendah bagi barisan produk yang terjejas.
Selain itu, FMM turut menyarankan kerajaan memberi kemudahan pembiayaan khusus untuk pengilang bersaiz pertengahan.
Ia sebagai kemudahan pembiayaan pelengkap oleh Kementerian Kewangan (MOF) dan BNM bagi pengilang dengan perolehan tahunan RM50 juta hingga RM500 juta yang tidak memenuhi syarat PKS, dengan had pembiayaan yang sesuai dengan skala operasi mereka. -MalaysiaGazette.
Sumber artikel: https://malaysiagazette.com/2026/06/11/fmm-mohon-industri-diberi-bantuan-ringankan-kos-bahan-api/