Print  |  Favourites

Kerjasama majikan-pekerja kunci tangani tekanan kos industri

FMM In The News: BH ONLINE, 27 April 2026 

KUALA LUMPUR: Persekutuan Pengilangan Malaysia (FMM) menegaskan komitmen berterusan dalam mempertahankan martabat, kebajikan dan hak pekerja sebagai asas penting membina sektor pembuatan yang kukuh, bertanggungjawab dan mampan sempena sambutan Hari Pekerja.
Presidennya, Jacob Lee Chor Kok, berkata sektor pembuatan negara dibina atas dedikasi lebih 2.3 juta pekerja yang menyokong aktiviti pengeluaran, eksport serta ketahanan ekonomi negara setiap hari.

Katanya, sumbangan tenaga kerja itu terus memperkukuh daya saing dan reputasi industri di peringkat domestik serta antarabangsa.

"Dalam persekitaran semasa, pekerja dan majikan sedang beroperasi dalam tekanan yang semakin meningkat.

"Pekerja kini berdepan peningkatan kos sara hidup serta ketidaktentuan harian yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, Chor Kok berkata majikan terus mengurus peningkatan kos input, gangguan rantaian bekalan, persaingan global serta jangkaan pematuhan yang semakin bertambah.

"Dalam persekitaran yang dikongsi bersama ini, FMM menekankan sikap saling menghormati, persefahaman dan kerjasama antara majikan serta pekerja menjadi semakin penting.

"Ini kerana industri yang berdaya tahan dan kompetitif tidak hanya bergantung kepada kecekapan kos atau pelaburan semata-mata, sebaliknya turut dibina oleh kekuatan tenaga kerja," katanya.

Beliau berkata, tempat kerja yang selamat, adil dan saling menghormati perlu menjadi keutamaan semua pihak bagi memastikan kelangsungan industri.

"Hak pekerja termasuk keadaan kerja yang selamat dan sihat, gaji yang adil, waktu bekerja yang munasabah serta martabat di tempat kerja mesti sentiasa dipertahankan," katanya.

FMM turut menegaskan amalan pekerjaan yang baik bukan sahaja penting kepada kesejahteraan pekerja, malah mencerminkan tanggungjawab perniagaan dalam menegakkan hak asasi manusia merentasi operasi dan rantaian bekalan.

Kata Chor Kok, majikan yang melabur dalam layanan adil, kebajikan pekerja, pembangunan kemahiran serta persekitaran kerja yang selamat sebenarnya melabur untuk kelestarian jangka panjang syarikat.

Katanya, pendekatan itu mampu meningkatkan semangat kerja, produktiviti, kadar pengekalan pekerja, kestabilan organisasi serta reputasi perniagaan.

"Selain itu, ia turut menyokong keyakinan pelanggan dan pelabur dalam persekitaran global yang semakin menitikberatkan standard buruh dan integriti rantaian bekalan.

"FMM berpandangan ekosistem tenaga kerja yang mampan perlu bersifat seimbang dan praktikal bagi memastikan kelangsungan industri," katanya.

Beliau berkata, usaha melindungi kebajikan pekerja perlu berjalan seiring dengan keperluan memastikan perniagaan kekal berdaya maju, kompetitif dan mampu menjana peluang pekerjaan.

Dalam konteks dasar, FMM memaklumkan perlindungan hak pekerja selari dengan Pelan Tindakan Kebangsaan Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NAPBHR), Pelan Tindakan Kebangsaan Mengenai Buruh Paksa (NAPFL) serta Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Semua inisiatif itu menyokong pembangunan industri yang lebih bertanggungjawab, inklusif dan mampan pada masa hadapan.

FMM turut menegaskan peranan penting majikan dalam memastikan pematuhan undang-undang buruh serta mempromosikan amalan tempat kerja yang baik termasuk aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan, pembayaran gaji dan kerja lebih masa yang betul serta pengurusan kebajikan pekerja.

"Dalam hal ini, usaha berkenaan perlu disokong oleh agensi kerajaan berkaitan tanpa sekatan tidak perlu yang boleh menyukarkan proses pematuhan," tambahnya.

FMM menambah, pihaknya akan terus mengadakan libat urus dengan kerajaan, majikan, pekerja serta pemegang taruh lain bagi mempromosikan dasar buruh yang seimbang, praktikal dan progresif.

"Langkah itu bertujuan memastikan hak pekerja terus dilindungi sambil memperkukuh daya tahan serta daya saing sektor pembuatan negara," katanya.


Sumber: https://www.bharian.com.my/amp/bisnes/lain-lain/2026/04/1538840/kerjasama-majikan-pekerja-kunci-tangani-tekanan-kos-industri


Back to Top

Advertising Opportunities in FMM's Directories:
Copyright © 2025 Federation of Malaysian Manufacturing {Company Registration No. 196801000309 (7907-X)} 
(Formerly known as Federation of Malaysian Manufacturers)
Wisma FMM, No 3 Persiaran Dagang, PJU 9, Bandar Sri Damansara, 52200 Kuala Lumpur. 
Read FMM Personal Data Protection Act Policy