FMM In The News: BERITA HARIAN, 27 Oktober 2025
KUALA LUMPUR: Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Amerika Syarikat (AS)-Malaysia dilihat sebagai satu rangka kerja seimbang yang melindungi akses pasaran sedia ada dan memperkukuh daya saing industri negara.
Presiden Persekutuan Pengilangan Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai, berkata kejayaan Malaysia memeterai perjanjian berkenaan adalah hasil rundingan teliti dan usaha gigih Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam memastikan kepentingan negara tidak terjejas di tengah-tengah tekanan perdagangan global yang semakin kompleks.
"Perjanjian ini penting kerana ia melindungi sektor eksport kritikal Malaysia sambil memberi ruang kepada industri tempatan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran global," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Di bawah perjanjian itu, AS mengekalkan kadar tarif 19 peratus terhadap barangan asal Malaysia, namun memberikan pengecualian kepada 1,711 talian tarif eksport meliputi sektor utama seperti minyak sawit, produk getah, koko, komponen pesawat dan farmaseutikal.
Semua pengecualian itu dianggarkan bernilai AS$5.2 bilion (RM21.9 bilion) atau kira-kira 12 peratus daripada jumlah eksport Malaysia ke AS, sekali gus menjamin kesinambungan pasaran dan mengelak gangguan kepada sektor pengeluaran domestik.
Mengulas lanjut, Thian Lai berkata, tanpa perjanjian berkenaan, Malaysia mungkin berdepan risiko dikenakan pelbagai tarif baharu oleh AS, termasuk cadangan tarif 100 peratus terhadap semikonduktor, 50 peratus bagi kabinet dapur dan bilik mandi, serta 30 peratus untuk perabot berlapik.
"Langkah perlindungan melalui perjanjian ini amat penting kerana ia memastikan pengeksport Malaysia tidak terperangkap dalam langkah tarif menyeluruh yang sedang dilaksanakan AS terhadap negara lain," katanya.
Beliau menjelaskan, pelaksanaan perjanjian itu akan dilakukan secara berperingkat bagi membolehkan industri tempatan menyesuaikan diri.
"Ia membabitkan pelarasan tarif, duti eksais, cukai jualan dan perkhidmatan serta standard teknikal dan farmaseutikal dalam tempoh beberapa tahun," katanya.
Pendekatan berfasa itu, jelasnya, membolehkan pengeluar tempatan meningkatkan keupayaan, menambah pelaburan, serta menyelaraskan piawaian bagi memenuhi tuntutan perdagangan antarabangsa yang lebih ketat.
"Ini mencerminkan strategi rundingan Malaysia yang berhati-hati dan berpandangan jauh untuk melindungi industri sambil membuka peluang penyertaan lebih mendalam dalam rantaian bekalan global," katanya.
FMM turut berpandangan, perjanjian itu menyediakan asas kukuh kepada pelabur tempatan dan asing untuk bekerjasama dalam sektor pembuatan bernilai tinggi dan ekonomi digital, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab industri serantau.
"Kejayaan sebenar perjanjian ini bergantung kepada pelaksanaan berkesan di peringkat industri dan kerajaan bagi memastikan manfaatnya diterjemahkan kepada hasil nyata termasuk peningkatan pelaburan, pekerjaan berkemahiran dan pertumbuhan eksport.
"FMM komited bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi memastikan terma perjanjian ini benar-benar membawa keuntungan kepada asas industri Malaysia, termasuk perusahaan kecil dan sederhana," katanya
Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2025/10/1464178/perjanjian-malaysia-lindungi-sektor-eksport-kritikal-negara-fmm?source=widget