FMM In The News: BH ONLINE, 6 Februari 2026
KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menyambut baik inisiatif kerajaan untuk meneroka sistem pengambilan terus pekerja asing sebagai satu langkah strategik bagi mengurangkan kebergantungan kepada ejen pengambilan pihak ketiga.
Langkah berkenaan disifatkan tepat pada masanya memandangkan penglibatan orang tengah secara sejarah telah menyumbang kepada kos pengambilan yang tinggi serta mendedahkan pekerja kepada risiko eksploitasi dan kerentanan.
Presiden FMM, Jacob Lee Chor Kok berkata, pengurangan kebergantungan kepada ejen itu adalah langkah positif ke arah rangka kerja mobiliti buruh yang lebih telus, beretika dan cekap.
"Rangka kerja pengambilan Kerajaan-kepada-Kerajaan (G2G), jika distruktur dengan baik, boleh membantu menangani kebimbangan berpanjangan mengenai eksploitasi dan kos pengambilan yang melampau, sambil meningkatkan akauntabiliti dan kebolehkesanan dalam proses pengambilan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, mekanisme pengambilan terus yang telus itu turut menyokong Pelan Tindakan Kebangsaan mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NAPBHR) serta memenuhi jangkaan usaha wajar di bawah rejim pematuhan buruh paksa antarabangsa, termasuk di Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.
Bagi memastikan keberkesanan sistem itu, FMM menegaskan bahawa keseluruhan proses pengambilan dan kelulusan perlulah didigitalkan sepenuhnya dari awal hingga akhir dengan campur tangan manusia yang minimum atau tiada langsung.
Lee menjelaskan bahawa sistem digital sepenuhnya akan mengurangkan ketidaktelusan, menghapuskan tingkah laku 'ali baba', serta meminimumkan peluang penyalahgunaan atau manipulasi dalam rantaian nilai pengambilan pekerja.
"Pendekatan sebegini adalah selaras dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), amalan terbaik antarabangsa dalam pengambilan beretika, dan agenda reformasi tadbir urus digital Malaysia yang lebih luas," katanya lagi.
Dalam pada itu, FMM turut menekankan bahawa walaupun pengilang sedang bergerak pantas ke arah kecerdasan buatan (AI) dan automasi selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, transformasi struktur itu tidak boleh dicapai dalam sekelip mata.
Justeru, beliau berkata kebergantungan kepada pekerja asing kekal sebagai satu realiti yang tidak dapat dielakkan semasa tempoh peralihan ini dan bukannya satu pilihan dasar semata-mata.
FMM berharap reka bentuk rangka kerja berkenaan dapat menyokong cita-cita Malaysia untuk mengukuhkan kedudukannya dalam Tahap 1 Laporan Pemerdagangan Orang (TIP) Jabatan Negara Amerika Syarikat.