FMM In The News: BERITA HARIAN, Jumaat, 27 Mac 2026
KUALA LUMPUR: Sektor pembuatan negara kini berdepan risiko gangguan bekalan kritikal apabila kebanyakan kilang hanya mempunyai stok bahan mentah yang mampu bertahan antara dua hingga enam minggu saja.
Amaran itu dikeluarkan oleh Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) susulan gangguan rantaian bekalan global yang berpunca daripada konflik di Asia Barat.
Menurut Presiden FMM, Jacob Lee Chor Kok, kelewatan penghantaran bahan mentah kini memberi kesan langsung kepada kelangsungan operasi kilang di Malaysia.
"Kebanyakan pengeluar beroperasi dengan inventori selama dua hingga enam minggu. Gangguan berterusan akan menjejaskan kesinambungan pengeluaran merentasi sektor plastik, bahan kimia, elektronik, produk getah dan pemprosesan makanan," katanya dalam satu kenyataan.
Gangguan berkenaan berpunca daripada penutupan laluan utama perdagangan serta lencongan kapal dagang melalui Tanjung Harapan yang memanjangkan tempoh penghantaran sehingga 14 hari.
Situasi itu menjejaskan jadual penghantaran dan kitaran modal kerja syarikat, sekali gus meningkatkan tekanan operasi dalam kalangan pengilang tempatan.
Chor Kok menjelaskan gangguan berterusan berpotensi menjejaskan kesinambungan pengeluaran merentasi pelbagai sektor kritikal termasuk pemprosesan makanan, plastik, bahan kimia, elektronik dan produk getah.
Selain kelewatan logistik, beliau berkata, pengilang turut berdepan kekurangan bekalan bahan mentah berasaskan petroleum yang semakin mahal dan sukar diperoleh.
"Peningkatan kos, kelewatan bekalan dan ketidakpastian operasi sudah pun menjejaskan output pembuatan dan keperluan eksport," katanya.
Justeru, Chor Kok menegaskan keperluan campur tangan segera kerajaan bagi menstabilkan kos, memastikan kesinambungan pengeluaran dan melindungi daya saing eksport negara.
Beliau berkata, FMM mencadangkan pelepasan cukai jualan dan duti import untuk kargo eksport yang diimport semula, pelepasan cukai untuk kos logistik berkaitan krisis, akses subsidi diesel untuk sektor perindustrian berintensifkan bahan api.
Katanya, pihaknya juga meminta kerajaan untuk mengarahkan pengeluar tenaga negara dan penapis domestik utama untuk mengutamakan peruntukan domestik bagi stok suapan utama sepanjang tempoh krisis.
Pihaknya juga meminta kerajaan memudahkan pengecualian duti dan cukai sementara ke atas input pembungkusan petrokimia, kimia dan gred makanan kritikal yang diperoleh daripada sumber alternatif dan mewujudkan mekanisme pemantauan inventori negara dengan ambang yang ditetapkan supaya intervensi dapat diaktifkan sebelum kekurangan menjadi teruk.
Beliau berkata, FMM turut menyeru agar baki fasa kenaikan tarif pelabuhan ditangguhkan sepanjang tempoh gangguan semasa, ketelusan kadar pengangkutan dan akauntabiliti syarikat perkapalan.